Myanmar tahan wartawan dedah kekejaman tenteranya





Bangkok – Dua wartawan Reuters ditahan selama dua bulan oleh pihak berkuasa Myanmar kerana mereka cuba mendedahkan me­ngenai pembunuhan beramai-ramai 10 etnik Ro­hingya, menurut agensi beri­ta tersebut semalam.

Ini adalah kali pertama Reuters mengesahkan secara terbuka bahawa warga Myanmar, Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27, sedang bertugas ketika ditangkap pada 12 Di­sember lalu di pinggir Yangon.

Pasangan itu kini berhadapan hukuman penjara sehingga 14 tahun atas tuduhan memiliki dokumen rahsia yang melanggar Akta Rahsia Rasmi era kolonial.

Nasib Lone dan Soe Oo telah mencetuskan kebimbangan global terhadap kebebasan akhbar di Myan­mar dan usaha kerajaan untuk membendung laporan di Negeri Rakhine, sebuah wilayah yang dilanda krisis apabila pihak tentera dituduh melancarkan kempen pembersihan etnik terhadap penduduk Muslim Rohingya.

Hampir 700,000 etnik Rohingya telah melarikan diri sejak Ogos tahun lalu de­ngan membawa kisah-kisah kekejaman pihak tentera dan kumpulan pemantau di negara majoriti Buddha itu.

Kelmarin, Reuters menerbitkan laporan mengenai bagaimana tentera Myanmar dan penganut Buddha membunuh 10 lelaki Ro­hingya di perkampungan Inn Din, Rakhine pada 2 September 2017 sebelum membuang mayat mangsa ke dalam sebuah kubur besar.

“Siasatan Reuters terhadap pembunuhan beramai-ramai di Inn Din adalah punca yang mendorong pihak berkuasa polis Myanmar menangkap dua wartawan agensi berita itu,” kata laporan berkenaan.

Keterangan itu adalah ber­dasarkan testimoni daripada penduduk kampung beragama Buddha, anggota ke­selamatan dan saudara-mara mangsa yang terbunuh.

Ia turut memaparkan gambar grafik mangsa dalam keadaan tangan terikat dan berlutut sebelum dibunuh dan mayat mereka dicampak ke dalam lubang.

Hakim menolak ikat jamin kepada dua wartawan itu, meskipun menerima tekanan kumpulan hak asasi dan diplomat dari seluruh dunia.

Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 14 Februari ini. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan