Semua anjing pembawa virus rabies


Serian – Semua anjing di negeri ini dianggap pembawa virus rabies yang memerlukan kerjasama semua pihak terutama penduduk agar memastikan haiwan itu divaksin bagi mencegah penularan wabak berkenaan. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, adalah lebih selamat jika dianggap setiap anjing berpotensi membawa virus itu agar langkah pencegahan dapat diambil dengan memberi vaksin kepada haiwan yang dilihat lebih efektif kosnya. Menurutnya, kajian mendapati 50 hingga 60 peratus anjing berada di kawasan wabak membawa virus rabies. “Ini satu perkara mustahak dan diharap masyarakat keseluruhannya memberi sokongan terhadap usaha ini kerana tidak boleh pulih apabila dijangkiti virus berkenaan,” katanya dalam akhbar selepas melawat mangsa keenam kes rabies yang masih hidup di Kampung Bayur di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Senator Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Jamilah Hashim. Dalam pada itu, beliau memberitahu, mangsa kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu terselamat, namun kini mengalami kecacatan otak dan terlantar bergantung kepada mesin bantuan alat pernafasan. “Keadaan mangsa seperti ini jarang terjadi dengan kurang 20 pesakit rabies di dunia terselamat. “Kebanyakan kes adalah maut disebabkan tiada rawatan spesifik cuma pencegahan sahaja. Jika terselamat akhirnya akan menjadi seperti keadaan mangsa ini,” ujarnya. – Utusan

Myanmar tahan wartawan dedah kekejaman tenteranya





Bangkok – Dua wartawan Reuters ditahan selama dua bulan oleh pihak berkuasa Myanmar kerana mereka cuba mendedahkan me­ngenai pembunuhan beramai-ramai 10 etnik Ro­hingya, menurut agensi beri­ta tersebut semalam.

Ini adalah kali pertama Reuters mengesahkan secara terbuka bahawa warga Myanmar, Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27, sedang bertugas ketika ditangkap pada 12 Di­sember lalu di pinggir Yangon.

Pasangan itu kini berhadapan hukuman penjara sehingga 14 tahun atas tuduhan memiliki dokumen rahsia yang melanggar Akta Rahsia Rasmi era kolonial.

Nasib Lone dan Soe Oo telah mencetuskan kebimbangan global terhadap kebebasan akhbar di Myan­mar dan usaha kerajaan untuk membendung laporan di Negeri Rakhine, sebuah wilayah yang dilanda krisis apabila pihak tentera dituduh melancarkan kempen pembersihan etnik terhadap penduduk Muslim Rohingya.

Hampir 700,000 etnik Rohingya telah melarikan diri sejak Ogos tahun lalu de­ngan membawa kisah-kisah kekejaman pihak tentera dan kumpulan pemantau di negara majoriti Buddha itu.

Kelmarin, Reuters menerbitkan laporan mengenai bagaimana tentera Myanmar dan penganut Buddha membunuh 10 lelaki Ro­hingya di perkampungan Inn Din, Rakhine pada 2 September 2017 sebelum membuang mayat mangsa ke dalam sebuah kubur besar.

“Siasatan Reuters terhadap pembunuhan beramai-ramai di Inn Din adalah punca yang mendorong pihak berkuasa polis Myanmar menangkap dua wartawan agensi berita itu,” kata laporan berkenaan.

Keterangan itu adalah ber­dasarkan testimoni daripada penduduk kampung beragama Buddha, anggota ke­selamatan dan saudara-mara mangsa yang terbunuh.

Ia turut memaparkan gambar grafik mangsa dalam keadaan tangan terikat dan berlutut sebelum dibunuh dan mayat mereka dicampak ke dalam lubang.

Hakim menolak ikat jamin kepada dua wartawan itu, meskipun menerima tekanan kumpulan hak asasi dan diplomat dari seluruh dunia.

Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 14 Februari ini. – AFP

Depan dan belakang boleh hentam


Bandung – Impian seorang mekanik berusia 71 tahun di Indonesia lebur apabila pihak polis menarik kereta ‘muka dua’ yang dimilikinya, lapor portal berita tempatan, Merdeka pada Sabtu. Roni Gunawan dari Bandung berkata, dia selalu berimpian untuk memiliki kereta seperti itu. Menurut laporan tersebut, Roni mencapai impiannya dengan mengimpal bahagian hadapan dua kereta jenama Toyota Vios menjadi satu.
 Katanya, dia mengambil masa selama tiga bulan dan melibatkan tiga tukang kimpal, tiga tukang cat serta beberapa mekanik untuk menyiapkan kereta tersebut. Rakaman video yang dimuat naik di laman sosial oleh orang awam menunjukkan kereta unik itu boleh berfungsi dengan baik. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan telah merampas kenderaan tersebut dengan alasan ia melanggar peraturan keselamatan jalan raya.