Semua anjing pembawa virus rabies


Serian – Semua anjing di negeri ini dianggap pembawa virus rabies yang memerlukan kerjasama semua pihak terutama penduduk agar memastikan haiwan itu divaksin bagi mencegah penularan wabak berkenaan. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, adalah lebih selamat jika dianggap setiap anjing berpotensi membawa virus itu agar langkah pencegahan dapat diambil dengan memberi vaksin kepada haiwan yang dilihat lebih efektif kosnya. Menurutnya, kajian mendapati 50 hingga 60 peratus anjing berada di kawasan wabak membawa virus rabies. “Ini satu perkara mustahak dan diharap masyarakat keseluruhannya memberi sokongan terhadap usaha ini kerana tidak boleh pulih apabila dijangkiti virus berkenaan,” katanya dalam akhbar selepas melawat mangsa keenam kes rabies yang masih hidup di Kampung Bayur di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Senator Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Jamilah Hashim. Dalam pada itu, beliau memberitahu, mangsa kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu terselamat, namun kini mengalami kecacatan otak dan terlantar bergantung kepada mesin bantuan alat pernafasan. “Keadaan mangsa seperti ini jarang terjadi dengan kurang 20 pesakit rabies di dunia terselamat. “Kebanyakan kes adalah maut disebabkan tiada rawatan spesifik cuma pencegahan sahaja. Jika terselamat akhirnya akan menjadi seperti keadaan mangsa ini,” ujarnya. – Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan